Salah satu penemuan terhebat di dunia adalah biji daripada buah Theobrama cacao atau dikenali sebagai koko,iaitu bahan asli untuk membuat coklat. Dengan teksturnya yang halus, rasanya yang mengasyikkan dan aromanya yang lembut, coklat menjadi sumber yang penuh dengan rasa kemewahan dan digemari oleh hampir setiap orang di seluruh dunia.
‘Theobroma’ yang bermaksud ‘makanan dewata’ adalah peringkat pertama dalam pengembaraan coklat. Koko berasal dari bumi Maya di bahagian tengah benua Amerika dan dibawa pulang ke tempat masing-masing oleh pengembara Sepanyol dan negara Eropah lain. Dari situ koko dibawa menyeberangi lautan Hindi ke Jawa, Sumatera hinggalah ke Malaysia. Ini membuktikan sejak hari pertama ditemui, koko telah menjalinkan hubungan yang intim dengan manusia daripada pelbagai peringkat dan melangkaui sempadan negara, budaya, sosial, ekonomi mahupun rohani. Sejak berkurun-kurun, koko digunakan dalam pelbagai bentuk oleh berbilang bangsa.
Koko hanya sesuai ditanam dan hidup subur di wilayah beriklim tropika. Tanaman dua musim ini berupaya mengeluarkan hasil melebihi dua tan sehektar setahun dan menjadi sumber kehidupan golongan petani di luar bandar terutama di Afrika Barat, Asia Tenggara dan Amerika Tengah. Buah koko sedia dituai selepas empat bulan bunga berputik. Terserlah barisan rapi biji koko diselaputi pulpa keputih-putihan apabila buah dibelah. Biji-biji koko basah akan diperam dan dikeringkan untuk menghasilkan biji koko kering bernilai tinggi.
Daripada Biji Menjadi Coklat
Biji-biji koko kering yang diproses melalui beberapa peringkat dan inovasi teknologi akan menghasilkan tiga produk utama iaitu massa, lemak dan serbuk koko. Kegunaan koko berkembang pesat, daripada hanya sebagai minuman pada peringkat awal penemuannya kepada pelbagai bentuk dan perisa coklat serta konfeksi yang lazat dan menyelerakan.